KUALA LUMPUR, 7 Feb – PENJARA…. Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC) pada 2012.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang lagi tertuduh yang juga bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengan Mohd Rafizi, 41.

Mereka dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Zamri memutuskan demikian dalam penghakimannya selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas kedua-dua tertuduh.

“Mahkamah meneliti keseluruhan kes dan membuat penelitian maksimum terhadap hujahan pendakwaan serta pembelaan itu.

“Kedua-dua tertuduh disabitkan atas kesalahan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka hingga keputusan rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000 seorang. – WD MY