KUALA LUMPUR, DISEMBER 19: DIANYA…Bekas ketua menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik berkata beberapa tokoh dalam DAP dan PKR yang didakwa pernah menganiayai dirinya menerusi “konspirasi politik jelik” kini cuba menghalang penyertaannya ke dalam Bersatu.

“Koloborasi DAP dan PKR yang memberi tekanan ke atas Tun Mahathir (Mohamad) untuk halang keahlian saya dalam Bersatu berpunca daripada perasaan bersalah beberapa tokoh dalam parti itu yang sebelum ini pernah menganiayai saya menerusi satu konspirasi politik yang amat jelik.

“Jelas, tindakan mereka tidak lebih sekadar untuk menutup perasaan bersalah mereka,” katanya, lapor media tempatan.

BH Online memetik bekas ketua pemuda Umno itu mendakwa, DAP dan PKR memberi ugutan melampau kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad.

“Ini satu perbuatan yang tidak demokratik lagi pengecut dan tidak boleh dibenarkan kerana jika mereka berjaya (menghalang penyertaan saya dalam Bersatu), segala hal dan hak dalaman parti komponen lain juga akan dicampurtangan,” katanya.

Pada Ahad lalu, Rahim mengumumkan keluar Umno dan menyerahkan permohonan untuk menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, tindakan itu mendapat maklum balas ramai pihak.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata permohonanmereka yang berminat menjadi ahli parti, termasuk Rahim tertakhluk kepada proses tapisan yang ketat, melibatkan kerjasama polis dan SPRM.

“Adalah dimaklumkan bahawa permohonan (Abdul Rahim) ini juga tertakluk kepada proses tapisan yang akan dibuat oleh jawatankuasa ini.

“Adalah tidak adil di peringkat ini untuk mengandaikan bekas pemimpin Umno yang menyerahkan borang permohonan keahlian telah diterima menjadi ahli secara automatik.

“Permohonan mereka hendaklah dinilai terlebih dahulu,” katanya.-MY WD