KUALA LUMPUR, !2 Nov – Tidak Relevan…….Serangan Pakatan Harapan terhadap projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah tidak masuk akal dan mempunyai agenda tersembunyi.

Datuk Seri Rahman Dahlan, berkata Pakatan Harapan terus mengguna pakai apa saja alasan untuk menimbulkan keraguan sekali gus menggagalkan usaha kerajaan untuk mengimbangi pembangunan antara Pantai Barat dan Timur.

“Pada mulanya, pemimpin Pakatan Harapan cuba menimbulkan keraguan dengan melemparkan tuduhan bahawa Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah sebuah syarikat RM2 yang baru ditubuhkan.

“Namun, saya menjelaskan bahawa syarikat itu adalah syarikat 100 peratus milik kerajaan.

“Semalam, tiga orang Ahli Parlimen Pakatan iaitu Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Hatta Ramli mengeluarkan kenyataan bersama untuk membidas kenyataan saya sebelum ini yang memberikan perbandingan ECRL dengan projek kereta api lain di seluruh dunia yang jauh lebih tinggi kosnya setiap kilometer,” katanya.

Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga Ahli Parlimen itu kemudiannya, mencerca beliau dengan berkata bahawa beliau seorang yang jahil kerana membandingkan projek-projek yang kosnya lebih tinggi sehingga ada yang 10 kali ganda berbanding kos ECRL.

Katanya, beliau tidak sepatutnya membandingkan kos projek kereta api luar negara dengan kos ECRL yang menurut mereka bernilai RM91.7 juta setiap kilometer.

“Mereka berkata, saya sepatutnya membandingkan kos ECRL dengan kos projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan Gemas-Johor Bahru sepanjang 179km yang masing-masing bernilai RM44 juta dan RM39.8 juta setiap kilometer,” katanya.

Perkara itu membuatkan beliau mempersoalkan keterdesakan Ahli Parlimen yang kononnya cekap sehingga mahu membandingkan kos projek landasan berkembar dengan projek kereta api baharu. – WD MY