KUALA LUMPUR,OGOS 28: BAIK….Kes saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli, berhubung kontrak pelaksanaan Ekspo Negaraku 2017, mungkin diselesaikan secara baik.

Peguam Umi Farhanah Mohd Nasir yang mewakili Abdul Rahman berkata, kedua-dua pihak kini berbincang bagi menyelesaikan kes secara baik.

Bagaimanapun, katanya, kes akan diteruskan dengan perbicaraan tiga hari bermula 3 September ini, jika tiada penyelesaian dicapai.

Mohd Rafizi diwakili peguam Abdul Halim Abdul Karim.

Pengurusan kes didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Norfauzani Nordin, hari ini.

Pada 30 Januari lalu, Abdul Rahman sebagai plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Abdul Rahman mendakwa pada 10 November 2017, defendan melalui status di laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan seorang menteri.

Pada 11 Disember tahun lalu, defendan mengadakan sidang media bertajuk ‘Skandal Baru UMNO, Menteri Mana Pula Yang Kena?’ di pejabatnya di Sungai Besi di sini, dengan dihadiri wartawan pelbagai media.

Plaintif mendakwa sidang media itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook milik Mohd Rafizi iaitu Rafizi Ramli@rafiziramli.keadilan.

Pada sidang media itu, defendan didakwa secara semberono dan berniat jahat menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah dan palsu serta berniat jahat diterbitkan merujuk kepadanya.

Plaintif mendakwa fitnah itu membawa maksud beliau tidak jujur dan korup, selain menuduhnya terbabit dengan transaksi mengelirukan.

Akibat pernyataan fitnah itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya terjejas serta dipandang rendah dan hina oleh masyarakat umum.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan selain perintah injunksi supaya defendan melalui dirinya atau wakil dihalang daripada menerbitkan, mengeluarkan dan mencetak perkataan sama yang memfitnah plaintif.-MY WD