DEBAT…Pemilihan UMNO kali ini menarik apabila mempertontonkan ramai wajah baharu yang terdiri daripada pelbagai latar baik pada peringkat tertinggi, sayap, bahagian mahupun cawangan.

Ia dilihat akan terus menjadi perhatian dengan keahlian lebih tiga juta rakyat, kerana julung kali terbuka untuk semua jawatan. Hakikatnya, UMNO parti yang paling lama di Malaysia memerlukan pembaharuan ataupun istilah semasa peremajaan.

Hari ini, UMNO bukan hanya bertindak sebagai pembangkang, tetapi sebagai kerajaan alternatif terhadap apa jua dasar yang ditengahi oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Tidak boleh dinafikan, UMNO masih menjadi wadah politik pilihan, namun pemikiran lapuk mereka perlu diubah. Istilah king maker atau penentu perlu dibuang.

Bagi penulis, kelemahan yang timbul masih mampu diperbaiki secara baik dengan mengangkat pemimpin yang boleh membawa idea baharu dan bernas.

Nakhoda yang bijak, berani dan bertanggungjawab perlu dipilih dan dilantik supaya tidak tersasar jauh daripada landasan perjuangan asal yang pernah direncanakan lebih 60 tahun dahulu.

Tidak ada siapa pun boleh menafikan kehebatan UMNO yang berjaya melahirkan pemimpin yang berkredibiliti tinggi dan hebat.

Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga lahir daripada acuan dan bumbung UMNO.

Raikan perbezaan

Namun, jati diri perjuangan dan meraikan perbezaan pendapat perlu diterapkan sebagai usaha menambahbaik UMNO mengikut situasi semasa.

Suka atau tidak, Amerika Syarikat masih dipandang sebagai antara negara paling berpengaruh di dunia. Setiap kali berlaku pemilihan presiden pasti yang kita nantikan ialah debat presiden. Acara ini dianggap sebagai puncak kempen yang dilaksanakan.

Tidak perlu pergi jauh, Indonesia juga mengamalkan debat terbuka daripada pemilihan wali kota sehingga ke pemilihan presiden. Namun, kita masih takut-takut untuk melaksanakannya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sedar mengenai isu ini dan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa debat tidak sesuai diadakan di Malaysia kerana bertentangan dengan budaya kita.

Tambah beliau, masyarakat kita masih belum cukup matang untuk menyaksikan perdebatan di khalayak kerana kita cepat sentimental dan beremosi.

Namun, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li menyatakan kesediaan untuk berdebat secara terbuka dengan dua lagi calon utama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi menjawab semua persoalan yang berbangkit.

Seruan ini juga disahut oleh Khairy Jamaluddin, manakala Ahmad Zahid menolak pelawaan berdebat. Sesetengah ahli UMNO mengatakan, ini pemilihan dalam keluarga, jadi tidak perlu untuk berdebat.

Debat ulung

Bagi penulis pula, kini masanya untuk setiap orang bersuara, budaya menegakkan ideologi, visi dan misi perlu disuburkan secara berhemah agar boleh dinilai oleh semua pihak melalui debat ulung ini.

Hakikatnya, rakyat Malaysia sudah matang untuk menilai yang mana batu, yang mana permata, mana-mana calon tidak harus rasa gementar dengan keterbukaan yang berlaku sekarang.

Penulis juga merasakan kerajaan yang baik hanya boleh didukung oleh pembangkang yang kuat. UMNO perlu memilih pemimpin yang benar-benar sesuai dengan kehendak parti.

Tiada cara lain, hanya dengan cara berdebat ini akan dapat menyuarakan pandangan dan sikap individu yang menawarkan diri ini.

Untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang kompetitif, perlu raikan demokrasi yang sihat tanpa menghalang mana-mana pihak untuk bersuara asalkan menggunakan saluran betul.

Tambahan lagi, debat ini bukan saja akan menampakkan personaliti pemimpin parti malah akan menukarkan manifesto dari janji kosong kepada ayat lebih kukuh.

Debat ini juga boleh membuktikan kepada rakyat bahawa calon diuji dan diukur mengikut pemikiran, idea dan kesungguhan mereka untuk menawarkan satu visi yang jelas.

Debat politik harus disemai kerana tidak salah untuk berdepan dan menegaskan pendirian, asalkan bukan tong kosong.

Semoga debat ini akan menjadi satu titik tolak baharu dalam era politik Malaysia, sejajar dengan ‘sekolah politik IPDM’ yang diperkenalkan baru-baru ini.

Marilah kita berpolitik secara terbuka, matang dan sihat demi Malaysia yang lebih baik. Raikan debat sebagai medan baharu dalam politik negara kita.

Penulis adalah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia