DUBAI, 22 APRIL – RAKYAT…..Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Salman al-Khalifa mengarahkan supaya 551 warga negara Bahrain yang dilucutkan kerakyatan oleh mahkamah supaya diserahkan kembali kerakyatan mereka.

Menurut agensi Berita Bahrain, Raja yang mempunyai kuasa membatalkan keputusan mahkamah, meminta pihak berkuasa supaya mengambil kira ‘sifat jenayah yang dilakukan’ itu.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri diarahkan memeriksa fail dan menyediakan senarai mereka yang akan dikembalikan kerakyatan itu.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan bahawa kira-kira 990 orang yang kebanyakan puak Syiah sudah dilucutkan kerakyatan semasa insiden bantahan terhadap kerajaan sejak sedekad lalu.

Selasa lalu, mahkamah Bahrain melucutkan warga negara seramai 138 orang dan memenjarakan 139 orang semasa akhir perbicaraan besar-besaran yang dikecam kumpulan hak asasi antarabangsa, Amnesty International.

Mereka yang disabitkan bersalah ialah puak Syiah Bahrain seramai 169 orang yang dituduh membentuk kelompok ‘pengganas’ yang mempunyai hubungan dengan Pengawal Revolusi Iran. – WD MY