KUALA LUMPUR:UTAMAKAN…Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menegaskan beliau hanya mahu memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menawan Parlimen Lembah Pantai dan bukannya mengejar jawatan dalam kabinet seperti yang digembar-gemburkan.

Raja Nong Chik berkata, tumpuan utama beliau ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak mahu memikirkan mengenai soal jawatan dalam kabinet.

“Urusan pelantikan sebagai menteri itu adalah keputusan Perdana Menteri dan tanggungjawab saya selaku Ketua UMNO Bahagian, adalah untuk memastikan kemenangan parti di kawasan ini.

“Ia menjadi perjuangan utama saya sekarang dan sekiranya dipilih sebagai calon, saya gembira kerana dapat terus berkhidmat untuk penduduk di kawasan ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembelian Rumah Bagi pembangunan Semula Perumahan Awam (PA) Seri Pahang (Peringkat Pertama) di sini, hari ini.

Raja Nong Chik berkata, pada pilihan raya sebelum ini, iaitu ketika bergelar Menteri, beliau mengakui sememangnya mempunyai keyakinan tinggi.

Namun, kini, beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet dan lebih selesa sebagai bakal calon ‘under dog’.

“Sekarang saya hanya rakyat biasa dan ‘under dog’. Jika terpilih sebagai calon dan menang, saya berjanji memberi yang terbaik kepada pengundi kawasan ini.

“Itu komitmen parti kepada penduduk kawasan Lembah Pantai dan buktinya, meskipun BN tewas pada pilihan raya lalu, kami tetap memberi khidmat terbaik kepada rakyat selama ini,” katanya.-MY WD