RIYADH, 20 JULAI – LULUS…. ┬áPemerintah Arab Saudi, Raja Salman meluluskan tajaan pasukan Amerika Syarikat (AS) di negaranya bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kestabilan serantau, lapor agensi berita rasmi SPA semalam.

Langkah itu diambil susulan ketegangan memuncak antara Washington dan Tehran di Teluk yang turut memberi kesan ke atas harga minyak di peringkat global.

Iran semalam mengumumkan rampasan ke atas kapal tangki British di Selat Hormuz namun menafikan dakwaan Washington bahawa pasukan tentera laut AS berjaya menembak jatuh dron Iran di kawasan berhampiran awal minggu ini.

SPA yang memetik sumber rasmi kementerian pertahanan melaporkan, langkah itu bertujuan meningkatkan kerjasama dari aspek mempertahankan keselamatan dan kestabilan serantau serta mengekalkan keamanan.

Hubungan antara Washington dan Tehran semakin buruk tahun lalu apabila Presiden AS, Donald Trump memulaukan perjanjian nuklear 2015 antara kuasa dunia itu dan Iran.

Di bawah perjanjian berkenaan, Iran bersetuju mengehadkan program nuklear yang sekian lama dilihat Barat sebagai cubaan untuk menyembunyikan segala projek pembangunan senjata nuklear milik mereka, sebagai tukaran kepada penarikan semula sekatan.

Sekatan terbabit bagaimanapun dilaksanakan semula, sekali gus menjahanamkan ekonomi Iran.

Menurut Trump, beliau menganggap Arab Saudi sebagai sekutu penting di Asia Barat dan membantu menangani pengaruh Iran di rantau itu. – WD MY