KUALA LUMPUR,OGOS 8:HAK…Rakyat berhak mendapat jaminan harga barangan tidak akan meningkat sekiranya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan.

Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) berkata, ini masanya Pakatan Harapan (PH) membuktikan SST lebih berkesan berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“PH kerap mengulangi GST menjadi beban kepada masyarakat dan isu berkenaan menjadi topik utama untuk meraih undi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Anda berjaya menjadi kerajaan, tetapi jangan korbankan dasar ekonomi yang tepat hanya kerana janji bersifat populis semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy mengakui kerajaan Barisan Nasional (BN) dihukum atas kesilapan lalu namun ia bukan disebabkan oleh pelaksanaan GST seperti didakwa kerajaan semasa.

“Wang cukai yang diperoleh disalurkan semula kepada rakyat menerusi program bantuan yang dilaksanakan.

“Tunaikan janji yang termaktub dalam manifesto dan jangan sampai rakyat ditipu seperti mana rakyat United Kingdom tertipu selepas pelaksanaan Brexit,” katanya.-MY WD