KUALA LUMPUR, JAN 1: PERUT BERKERONCONG…Banyak ilmu baru yang boleh dipelajari daripada PRK Cameron Highlands.

Pertama, jangan berlawak ketika perut rakyat kosong. Ingatlah, kelaparan boleh membunuh kesabaran, dan boleh menyebabkan rakyat bertindak tanpa belas kasihan.

Esok-esok jangan pula pelik jika rakyat yang menjadi sahabat paling akrab sesebuah parti boleh bertukar menjadi musuh paling ketat.

Contohnya telah ada dan jelas. Pada PRU ke-14 lalu, rakyat menumbangkan BN selepas 61 tahun mereka berkuasa. Dan terkini, rakyat menolak calon parti kerajaan PH dengan kekalahan memalukan.

Rakyat menjulang calon parti pembangkang untuk menjadi tempat mereka berteduh walaupun payung itu belum tentu dapat melindungi mereka daripada hujan dan panas kehidupan.

Sebenarnya, rakyat tidak mengharapkan intan atau permata meskipun kerajaan pernah berjanji memberikan bulan dan bintang. Rakyat cuma mahukan perut yang tidak lagi berkeroncong kerana kosong. Sakunya sentiasa berisi dan boleh bergelak dan ketawa.

Kerajaan yang pintar akan sentiasa ingat bahawa perut kosong dan fikiran yang murung boleh menyebabkan manusia bertindak tanpa menggunakan akal.

Contohnya begini: Mana-mana kerajaan yang berperikemanusiaan tidak tergamak menyuruh rakyatnya menoreh ketika hujan lebat tanpa mengetahui perut rakyatnya tidak berisi.

Begitu juga, kerajaan yang bertimbang rasa tidak menyuruh secara mendadak agar rakyatnya memberi belas kasihan kepada kerajaan. Misalnya apabila mahu menaikkan tarif air atau ketika gagal memansuhkan bayaran tol. Atau ketika gagal menunaikan banyak janji yang telah diberi.

Ingatlah bahawa perut rakyat itu telah lama lapar. Ia bukan baru bermula sebulan dua dulu.

Dan jangan pula ada pemimpin menghina rakyat dengan berkata kaum ini tidak akan membeli kuih yang dibuat oleh kaum itu. Jangan ditutup telinga apabila rakyat meminta tindakan segera bagi menangani jenayah atau ketidakadilan.

Fahamilah bahawa rakyat kini sedang lapar.

Akaun untung rugi kerajaan banyak bergantung kepada suasana perut rakyat.

Rakyat sedang lapar. Rakyat tidak mahu mendengar songeh dan lelucon yang dibuat-buat. Rakyat mahu sardin murah, telur murah, ikan murah dan beras murah. Rakyat hari ini hanya mahukan peluang kerja yang lebih banyak, harga barangan keperluan yang munasabah, pendapatan mencukupi untuk mulut seisi keluarga.

Rakyat juga mahukan keadilan dalam pembahagian ‘harta rampasan perang’ selepas pilihan raya lalu diagih secara telus, adil dan diterima akal.

Apalah makna kelayakan menduduki sesuatu jawatan jika ia diberi kepada ahli keluarga terdekat pemimpin sedangkan ada berjuta rakyat lain boleh bersaing untuk menduduki jawatan itu.

Di atas itu hanyalah misal dan contoh kasar.

Ya, sebenarnya rakyat tidak mahu mendengar cerita perbalahan sesama menteri di media kerana mengikut logik akal, mereka tidak ada masalah untuk duduk dalam satu bilik yang sama dan bermesyuarat mengenainya.- MY WD