PARIT, 29 Julai – Kekal….. Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat perlu mengekalkan kuasa Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana hanya kerajaan itu tempat orang Melayu dan rakyat boleh bergantung harap.

Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu berkata, UMNO dan BN adalah kerajaan yang tidak mengamalkan dimensi “politik menakut-nakutkan” seperti dilakukan pembangkang, sebaliknya mengamalkan “politik pengharapan” untuk rakyat.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan BN juga telah membuktikan kemampuan membangunkan negara sehingga kini dan akan membawa perubahan jauh lebih besar kepada negara jika terus diberi kepercayaan menerajui negara.

“Memang ada perbezaan pendapat tapi jangan sekali-kali kita menghancurkan parti keramat kita, parti kita inilah satu-satunya boleh diharap, nak harap siapa lagi, melainkan parti UMNO dan BN. Yakinlah kita tak main politik menakut-nakutkan tapi main politik pengharapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Dewan Iltilzam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini, sebentar tadi.

UMNO Parit adalah bahagian pertama yang mesyuarat bahagian dirasmikan oleh Najib tahun ini.

Najib berkata, UMNO sendiri yang mempunyai 199 bahagian adalah sebuah parti bersemangat, tersusun dan terunggul di Malaysia bumi bertuah dan pada parti parti itu orang Melayu perlu meletakkan keyakinan untuk membela untung nasib mereka.

“UMNO akan terus memberi pengharapan kepada rakyat kerana kitalah yang telah membuktikan selama 60 tahun UMNO memerintah, kitalah parti yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini,” katanya.

Najib berkata, kemampuan BN dan UMNO menerajui negara terbukti melalui pelbagai projek besar malah pencapaian ekonomi dan pencapaian negara diperakui dan diiktiraf oleh Bank Dunia serta pelbagai agensi penarafan.

“Jadi janganlah fikir kita (negara dan rakyat) ni dalam keadaan tak diuruskan UMNO dengan baik…kalau ada yang dah keluar dari UMNO tu keluarlah, tak perlu balik, kita nak yang setia sahaja,” katanya.

Justeru, Najib meminta rakyat merenung masa depan mereka dengan tidak meletakkan kepercayaan dan keyakinan mereka kepada pakatan pembangkang.

“Dalam realiti politik Malaysia hari ini ada dua saja (pilihan pada PRU-14), sama ada parti ‘coalition’ atau pakatan yang dipimpin diterajui oleh UMNO atau alternatifnya siapa?

“‘Coalition’ yang dipimpin oleh DAP, tak kan parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dengan satu kerusi (Parlimen) boleh tentukan, masuk akal tak? Tak masuk akal! Takkan orang pencen boleh tentukan! Ini juga tak masuk akal.

“Di Perak dah berlaku 11 bulan (pakatan pembangkang bentuk kerajaan negeri), (dalam tempoh itu) bumi Perak ditadbir hakikatnya oleh DAP, sebab itulah pada kita bila ada dua pilihan ini, kita mesti bagi tau pilihan terbaik untuk orang Melayu dan negara kita adalah UMNO dan BN, itu mesej yang kena beritahu kepada orang kampung,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalannya, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan. – WD MY