SHANGHAI, 23 SEPT – TARIKAN….. Minggu Malaysia 2019 yang mempromosikan produk Malaysia di China yang berakhir semalam terbukti menjana jualan membanggakan, dipacu sesi penstriman langsung oleh lapan pemimpin pendapat utama (KOL) Taobao iaitu laman beli-belah Alibaba.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, juga menyifatkan jualan menerusi kalangan berpengaruh itu sebagai hebat dan memuji mereka di atas usaha cemerlang itu.

“Sebanyak 3,000 unit teh tarik dapat dijual dalam tempoh tiga saat…(memang) menakjubkan! Selain itu, sebanyak 3,000 pek biskut wafer dan 20,000 pek pai durian dijual dalam masa beberapa minit.

“(Produk) sarang burung walet bernilai 5 juta renminbi (kira-kira RM2.94 juta) pula berjaya dijual dalam masa 10 minit,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Minggu Malaysia 2019 selama seminggu di sini, semalam.

Darell menjelaskan, KOL itu dapat memberi panduan kepada pengguna menerusi pengetahuan yang dimiliki sepanjang acara Minggu Malaysia itu yang masuk tahun kedua penganjurannya oleh Alibaba dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

Beliau turut menyifatkan acara itu dapat meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama yang terlintas di fikiran pengunjung menerusi paparan lebih 100 jenama Malaysia merangkumi lebih 800 produk.

Lebih menarik lagi, kata beliau, ini tidak hanya membabitkan pasaran China tetapi juga ke pasaran lain di peringkat global.

Minggu Malaysia yang turut dipaparkan di pelbagai platform pasaran elektronik Alibaba, bertujuan mempromosikan jenama negara ini selain merancakkan eksport produk atau jenama tempatan bagi meraih eksport mampan menerusi e-dagang dan ekosistem teknologi syarikat gergasi Alibaba berkenaan.

Ia adalah usaha bersama antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi lain kerajaan termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Sementara itu, Pengarah Kanan Pejabat Globalisasi Kumpulan Alibaba, Sami Farhad berkata platform perniagaan-ke-perniagaan Alibaba 1688.com dan laman ‘jualan kilat’ Juhuasuan turut mencatat lonjakan jualan masing-masing sebanyak 11 kali dan 30 kali pada minggu itu berbanding purata angka mingguan.

“Antara produk paling laris dalam kempen itu adalah Sarang Burung Walet Zen, Old Town White Coffee, Julie’s Biscuits dan durian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi MDEC Datuk Ng Wan Peng berkata prestasi hebat Minggu Malaysia itu membuktikan peningkatan permintaan terhadap produk Malaysia dan paling utama, turut menjadi bukti kesediaan perniagaan Malaysia ke peringkat global menerusi platform e-dagang. – WD MY