KULIM, 16 Mac – TIDAK TERPEDAYA….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat tidak terpedaya dengan ‘kelawar’ dan ‘keluang’ yang mahu mencuri hasil tuaian pihak yang bekerja keras dalam memastikan hal kebajikan serta pembangunan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Menggunakan analogi makhluk perosak dan musim buah, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata rakyat perlu mengelakkan dari terpedaya dengan pembangkang yang hanya kelihatan lima tahun sekali untuk meraih undi sebelum menghilangkan diri selepas mendapat kuasa.

Ahmad Zahid berkata, musim menuai semakin dekat dan sudah pastinya pihak yang mengambil kesempatan akan muncul untuk memperdayakan rakyat.

“Saya minta orang Kulim tolak mereka (pembangkang), jangan bagi sokongan kepada pembangkang, berilah sokongan kepada mereka yang beri perkhidmatan terbaik tanpa mengira musim.

“Musim buah (pilihan raya umum) sudah tiba, maka ‘kelawar’ dan ‘keluang’ akan mula datang untuk mengambil hasil tuaian yang diusahakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu merangkap Ketua UMNO Bahagian, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, kerana beliau adalah pemilik kebun.

“Mereka, iaitu ‘kelawar’ dan ‘keluang’, hanya balik lima tahun sekali dan mahu mengambil semua hasil yang diusahakan,” katanya ketika berucap sempena majlis Hidup Tanpa Dadah Kulim/Bandar Bahru di Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Kenari malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masanya rakyat membalas budi apa yang dilakukan kerajaan kerana ia menunjukkan betapa kesyukuran kepada nikmat Allah.

“Saya nampak seolah-olah bergurau tetapi pada hakikatnya kita (rakyat) kena menyokong dan mendokong wakil rakyat yang mempunyai rekod baik, kita mahu bukan saja Kulim Bandar Baharu tetapi Malaysia terus harmoni, maju, aman dan dihormati dunia.

“Ketepikan perbezaan dan tekadkan hasrat untuk maju bersama, malah mendokong kepemimpinan Ahmad Bashah di Kedah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya,” katanya.

Mengenai pembangunan, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM246 juta diperuntukkan bagi tujuh pembangunan dirancang di Kulim dan Bandar Baharu bagi memanfaatkan rakyat.

“Antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Kompleks Sukan Komuniti Bandar Baharu, projek Kedah Agro Sungai Seluang, pembinaan Unit Rawatan Rapi dan Dewan Bedah Hospital Kulim serta projek Pusat Pelupusan Sanitari di Padang Cina, Kulim.

“Saya juga meluluskan peruntukkan RM5 juta tambahan bagi masjid ini (Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Kenari) bagi pelaksanaan projek dan program yang sudah dirancang pihak masjid,” katanya.

Beliau berkata, peruntukkan yang diluluskan adalah amanah dan tanggungjawab, begitu juga apabila dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Semua yang diberi bukanlah harta rampasan perang iaitu Ghanimah tetapi ia untuk disalurkan kepada rakyat, saya tidak bagi dedak dan saya bukanlah jenis yang beri dedak,” katanya. – WD MY