KOTA BHARU, 13 FEB- TEMBAK….. Seorang rakyat Malaysia maut manakala rakannya cedera ditembak dalam kejadian di sebuah bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, daerah Sungai Golok, selatan Thailand, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Sulaimi Mat Ali, 54 yang berasal dari Kampung Jalan Atas Paloh, di sini.

Manakala, rakannya yang cedera dikenali sebagai Muhammad Shahrul Aiman Mohd Abdul Aziz, 18, berasal dari Kampung Jalan Masjid.

Difahamkan, ketika kejadian jam 8.30 malam waktu tempatan, kedua-dua mangsa ditembak oleh dua individu bermotosikal yang tidak dikenali semasa berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Balai Sungai Golok, Superintendan Supakon Pungros, berkata salah seorang mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital dan akan dibawa pulang ke kediamannya hari ini.

“Seorang lagi mangsa masih di rawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil. Siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian masih dijalankan.

“Kita juga sedang mengesan individu yang mendalangi kejadian itu dan jumlah suspek sebenar yang terbabit serta motif” katanya ketika dihubungi. – WD MY