KUALA LUMPUR, 30 Dis – Tentukan…..Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata situasi ekonomi, politik dan budaya yang mesra kerajaan-rakyat menjadikan Malaysia negara pengimbang sama ada di peringkat domestik, serantau serta antarabangsa.

Menurut beliau, masa depan bagi tahun 2017 terletak di tangan rakyat.

“Masyarakat kita bukan lagi semata-mata terikat kepada negara bangsa tetapi masyarakat global yang bermaklumat.

“Ini bermakna berlaku peralihan daripada masyarakat industri pertanian kepada masyarakat global bermaklumat,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2017, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, cabaran kemakmuran ekonomi sesebuah negara adalah antara faktor penting yang berupaya menggalakkan rakyat mengamalkan nilai kesederhanaan berkait rapat dengan pencapaian ekonomi negara.

Beliau berkata, Malaysia menolak keganasan, malah memerangi sebarang aktiviti dan persepsi keganasan demi menentukan kemakmuran dan keselamatan rakyat negara ini.

“Tidak kira di mana juga kita berada, saya berpesan kepada seluruh rakyat bahawa kita sebagai bangsa Malaysia wajib berbangga dengan setiap pencapaian dan sumbangan kita kepada negara dicintai ini,” katanya. – WD MY