SANTUBONG, 12 Jan – Ziarah…… Lokasi kediaman Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, begitu suram tetapi tenang pagi ini.

Dalam tempoh berbaki kurang dua jam sebelum jenazah Adenan atau lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Nan’ dibawa ke Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya untuk disembahyangkan, segenap lapisan rakyat terus membanjiri kediamannya untuk memberikan penghormatan terakhir.

Ia jelas memperlihatkan pemimpin veteran itu sebagai seorang pemimpin disayangi oleh rakyatnya, seiring dengan kedudukannya sebagai ‘Hero Sarawak’ yang cukup bersederhana tetapi tegas dalam memperjuangkan negeri ini.

Jenazah Adenan dijadualkan dibawa ke Masjid Jamek Negeri kira-kira jam 10 pagi untuk majlis penghormatan negeri, seterusnya disembahyangkan selepas Solat Zuhur, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya. – WD MY