KUALA KANGSAR, 8 April – Rakyat Perak perlu membuat pilihan yang tepat agar peristiwa pahit bersejarah di mana Perak jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008 tidak berulang kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata sehubungan itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak perlu memenangi lebih banyak majoriti agar rangkaian kesinambungan antara kepimpinan pusat dan negeri dapat diteruskan.

“Betapa sukarnya ketika itu selama 11 bulan saya fikir wakil-wakil rakyat kita nak pakai khemah atau dewan termasuk kerusi untuk adakan sebarang program pun tidak dibenarkan.

“Akhirnya doa orang yang dizalimi tiada hijab, itu sebabnya Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) menjadi Menteri Besar sehingga sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan Millenium Lubuk Merbau dan Karnival Pelancongan Padang Rengas@Visit My Kampung 2018 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan BN Perak bukan hanya perlu dikekalkan tetapi harus diperkukuhkan dengan dokongan rakyat agar kemenangan dapat diperolehi.

Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Pengerusi BN berkata parti itu mengambil serius dalam mempertahankan Perak agar segala perancangan pada peringkat persekutuan dan negeri dapat diteruskan demi rakyat.

“Seri Iskandar akan ada lapangan terbang yang baharu, yang akan memberi kemudahan kepada semua, ini termasuk juga pembinaan WCE (Lebuh Raya Pantai Barat).

“Apabila gendang dipukul, beduk berbunyi, meriam ditembak kita jangan toleh belakang, kita harus pandang depan dan pilihan kita hanya satu iaitu mengundi hanya calon-calon BN dalam PRU-14 nanti,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO meminta jentera Perak yang diketuai Zambry untuk merampas semula kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang yang bakal ditandingi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Insya-Allah, jangan ada perasaan perkauman pun di kalangan kita. Saya tidak mahu mendahului Perdana Menteri tetapi eloklah Parlimen Lumut kita ambil alih,” katanya.

 

Bercakap mengenai Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata BN memenangi kerusi DUN Rungkup tetapi kalah di DUN Hutan Melintang pada dua pilihan raya umum lalu.

“Takkan kawasan Timbalan Perdana Menteri ada kawasan kita kalah, saya nak letak muka kat mana, besarlah malu saya. Jadi, saya juga hendak menyumbang kekuatan dua kerusi DUN (di Bagan Datuk) kepada kekuatan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Beliau turut meminta agar usaha perlu dijalankan dengan meningkatkan majoriti kemenangan di Parlimen Padang Rengas yang disandang oleh Mohamed Nazri Abdul Aziz dan dua DUN di bawahnya iaitu Lubuk Merbau dan Chenderoh yang merupakan ‘kawasan putih’. – WD MY