KOTA KINABALU, 7 Nov – Perlu Bangga Dengan Batik…… Semua Rakyat Malaysia harus menanam perasaan bangga terhadap batik tempatan yang mempunyai kecantikan dan keunikan tersendiri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
“Kita seharusnya berbangga dengan keupayaan usahawan batik kita yang mampu
menghasilkan pelbagai produk batik yang mempunyai nilai estetika, berkualiti
dan praktikal.
“Oleh itu, setiap sektor perlu bekerjasama dalam memastikan industri batik
terus kukuh seiring pembangunan negara dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya
ketika merasmikan Festival Viva Batik anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia,
di sini hari ini.
Bagi meningkatkan permintaan terhadap industri batik, Musa berkata pengusaha
perlu menghasilkan produk dan corak batik yang kreatif, berinovasi dan
berkualiti tinggi secara konsisten supaya industri itu terus kukuh dan mampu
berdaya saing.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga
penaung Yayasan Budi Penyayang Malaysia. – WD MY