KUALA LUMPUR, 23 DIS – CUKAI….Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai ke atas minyak petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter sejak bulan lepas, kata Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata berdasarkan harga brent semasa iaitu pada sekitar AS$52 setong, sepatutnya RON95 dijual antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga sekarang RM2.20.

“Belanjawan 2019 diumumkan oleh Guan Eng dengan andaian harga minyak dunia brent pada harga AS$72 satu tong pada awal bulan lepas tetapi selepas itu, harga minyak dunia telah terus jatuh menjunam.

“Semalam, harga brent ialah di sekitar AS$52 satu tong dan sebagai perbandingan, harga brent semasa BN kalah ialah AS$73 satu tong dan harga RON95 ialah RM2.20 satu liter.

“Ini bermakna, sejak awal bulan lepas, kerajaan PH telah kenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Menurut Najib, ini bermakna kerajaan PH telah mengutip cukai sebanyak RM120 juta daripada penjualan RON95 setiap minggu daripada rakyat.

“Semasa berkempen, PH telah membuat pelbagai janji di dalam ceramah mereka bahawa mereka akan menurunkan harga petrol kepada RM1.50 hingga RM1.80 satu liter.

“Oleh itu, rakyat ada hak untuk menuntut kerajaan PH untuk berhenti dari mengenakan cukai ke atas RON95 dan membenarkan rakyat menikmati harga petrol yang lebih rendah akibat kejatuhan harga minyak dunia,” katanya.

Najib juga turut membidas tindakan kerajaan PH yang mengapungkan semula harga petrol RON95.

Kata Najib, tindakan itu jelas bertentangan janji PH untuk menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.50 seliter hingga RM1,80 satu liter.

“Mengapa tidak apungkan sekarang juga untuk benarkan rakyat menikmati harga petrol yang lebih rendah sekarang memandangkan tempoh sekarang ialah tempoh penuh dengan hari perayaan?

“Subsidi tidak diberi, bantuan dipotong atau dimansuhkan, tetapi kerajaan PH dengan senyap mengutip cukai ke atas RON95 dan diesel pula?” soalnya.

Najib dalam pada itu turut mempersendakan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Memang SST bermakna ‘senyap-senyap tibai.

“Secara jujur, saya tidak pernah mengenakan satu sen cukai ke atas petrol RON95 di dalam tempoh saya sebagai perdana menteri,’ katanya. – WD MY