KUALA LUMPUR, 26 MAC – MINAT…. Beberapa syarikat luar negara, termasuk dari Eropah, Asia dan Asia Barat, berminat membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB), kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, mereka tidak semestinya mengambil alih keseluruhan syarikat tetapi mungkin hanya sebahagian kepentingan syarikat penerbangan nasional itu yang kini 100 peratus milik Khazanah Nasional Berhad.

“Alhamdulillah, ramai yang memilih untuk membeli saham MAB sama ada orang Asia, Eropah dan Timur Tengah (Asia Barat). Mereka sudah menyatakan hasrat itu kepada kerajaan dan ada juga yang menulis surat kepada saya.

“Mereka (pihak yang berminat untuk membeli) boleh membuat kajian mengenai syarikat itu (MAB),” katanya dalam temu bual pada program berita TV3, Buletin Utama, malam tadi.

Daim menjelaskan sektor penerbangan kini semakin rumit, memandangkan dana besar dan tenaga kepakaran amat penting.

Oleh itu, jika sebahagian kepentingan MAB dijual kepada firma luar, ia akan mendapat suntikan dana dan kepakaran, secara tidak langsung memulihkan syarikat.

“Tiada salahnya jika orang lain nak beli saham kita. Tidak menjadi masalah, sekiranya mereka mahu membawa masuk kepakaran,” katanya.

Daim berkata, kerajaan tidak seharusnya mencampuri urusan operasi syarikat penerbangan nasional itu, sebaliknya cukup sekadar menyokong dengan membantu mendapatkan hak pendaratan di lokasi strategik.

Beliau bagaimanapun berpendapat, tiada keperluan untuk meneliti semula cadangan penggabungan Malaysia Airlines dengan AirAsia sebagaimana yang pernah diperkatakan sebelum ini.

“Malaysia Airlines adalah (syarikat) premium, dan AirAsia adalah syarikat tambang rendah, jadi lebih baik mereka bersaing…seterusnya memberi nilai lebih baik,” katanya.

Daim turut menegaskan, masa depan dan kebajikan kakitangan MAB perlu dikekalkan walau apapun keputusan kerajaan, kerana golongan itu akan membawa syarikat keluar daripada masalah kewangan yang dihadapi. – WD MY