KUALA LUMPUR, 27 Nov – TERKANDAS… “Sepatutnya kami menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 12.15 tengah hari semalam (1.15 petang waktu Malaysia), tetapi sehingga kini masih terkandas di lapangan terbang,” kata Suliana Baharom Ulom, 33, rakyat Malaysia yang terkandas di Lombok susulan letusan Gunung Agung.

Eksekutif syarikat telekomunikasi itu berkata, dia ke Lombok bersama adik, Muhammad Al-Amin; adik ipar, Norizzati Razali; dan rakan adiknya, Muhammad Fahmi Ali, untuk bercuti pada 22 November lalu menaiki penerbangan AirAsia dan sepatutnya sudah pulang ke tanah air semalam.

Katanya, mereka tidak tahu penerbangan dibatalkan sehinggalah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok pada jam 11 pagi semalam (12 tengahari waktu Malaysia) ketika hendak mendaftar masuk.

“Kami tidak buat apa-apa persediaan pun sebab memang tak tahu (penerbangan batal).

“Ramai juga rakyat Malaysia yang terkandas. Keadaan di sini (lapangan terbang) juga agak kucar-kacir dengan penumpang pergi ke kaunter untuk bertanya mengenai penerbangan mereka.

“Ada juga yang tersadai dan sedang memikirkan jalan untuk keluar dari sini,” katanya.

Suliana berkata, selepas dimaklumkan mengenai pembatalan itu, mereka kemudian membeli tiket ke Jakarta melalui penerbangan Batik Air pada jam 6.55 petang sebagai pelan alternatif tetapi, malang apabila penerbangan itu turut ditunda menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM3,000.

Buat masa ini, katanya, mereka masih belum ada perancangan lain dan hanya menunggu di lapangan terbang berkenaan sekiranya ada pengumuman lain yang dibuat.

“Jika guna jalan darat untuk ke Surabaya memakan masa 24 jam.

“Kalau naik bot ke Bali pun, di sana akan terkandas juga. Jadi, kami tawakal saja. Mungkin kami hanya akan tinggal di lapangan terbang saja atau cari hotel berdekatan untuk bersihkan diri,” katanya yang pertama kali berdepan dengan situasi sedemikian.

Sementara itu, Nabilah Abdul Razak, 28, dan adiknya Muhd Farhan, 20, yang bercuti di Bali juga tidak dapat pulang ke Malaysia selepas Lapangan Terbang Ngurah Rai ditutup.

“Saya tahu (penerbangan pulang dibatalkan) kerana ada sepupu kerja di AirAsia, tetapi saya tetap ke lapangan terbang sebab mahu menukar tiket penerbangan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan tarikh yang boleh ditukar bermula 10 Disember. Jadi, saya terpaksa fikir alternatif lain untuk pulang ke Kuala Lumpur sebab tak mahu terkandas lama di sini,” katanya yang berada di Bali sejak Jumaat lalu.

Pengarang di syarikat penerbitan itu berkata, dia dan adiknya mengambil keputusan untuk menaiki bas ke Surabaya, esok biar pun bakal menempuh perjalanan kira-kira 11 jam.

Selepas itu, katanya, mereka akan mengambil penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur. – WD MY