KOTA KINABALU, 3 Jan – Dilantik…. Datuk Ramli Din, dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, berkuatkuasa hari ini, menggantikan Datuk Abd Rashid Harun yang bersara wajib.

Majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, sebentar tadi dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Ramli, 55, mula bertugas dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1987 sebagai kadet ASP (Asisten Superintendan).

Beliau yang berasal dari Kubang Pasu, Kedah, pernah memegang jawatan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman sebelum bertugas sebagai Ketua Polis Melaka selama setahun sejak Februari tahun lalu.

Sementara itu, Abd Rashid, 60, dilantik mengetuai Polis Kontinjen Sabah pada 4 Januari 2016 selepas memegang jawatan sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pertama pada 12 April 2013.

Dalam sidang media, Ramli berkata beliau sentiasa bersiap siaga bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan bekas pesuruhjaya polis negeri sebelum ini bagi memastikan keamanan di seluruh berada dalam keadaan selamat.

“Saya akan teruskan perjuangan yang ditinggalkan Datuk (Abd Rashid) malah mahu memperbaiki segala kekurangan yang ada. “Saya sedar tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah bukanlah satu tugas mudah kerana negeri ini mempunyai keluasan yang besar dan perairannya juga luas.

“Saya berharap anggota di semua peringkat dapat memberikan bekerjasama yang baik,” katanya yang sudah bertugas selama 30 tahun bersama pasukan PDRM. – WD MY