RANTAU PANJANG, 2 Jan – Lumpuh…… Keadaan Pekan Rantau Panjang termasuk kawasan Zon Bebas Cukai lumpuh selepas dinaiki air melebihi satu meter sejak tengah malam tadi. Malah, laluan ke lokasi berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.
Air dilaporkan naik secara mendadak berikutan Sungai Golok yang kini mencatat bacaan 10.19 meter (m), melepasi paras bahaya 9.0 m.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim, berkata hingga jam 9 pagi tadi, seramai 159 penduduk daripada 63 keluarga ditempatkan ke enam pusat pemindahan. “Bilangan mangsa dipindahkan dijangka meningkat berikutan kenaikan paras sungai, selain hujan lebat berterusan.
“Kita sentiasa memantau keadaan dan berusaha memindahkan mangsa yang terdedah kepada banjir.
“Setakat ini, pekan Rantau Panjang tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan,” katanya. – WD MY