MERSING, 1 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein menggesa seluruh anggota parti memberi keutamaan kepada UMNO supaya
parti yang ditunjangi orang Melayu itu terus kukuh.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata situasi yang berlaku di
dalam UMNO ketika ini bukan perkara baharu dan beliau yakin parti itu dapat
mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi.

“Marilah kita (anggota UMNO) merapatkan barisan supaya kita tidak berpecah-
belah. Kita perlu berfikiran terbuka dan tidak berfikiran sempit seperti hidup
di bawah tempurung,” katanya berucap merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Mersing
hari ini.

Beliau turut mengingatkan seluruh anggota UMNO supaya menghormati Tan Sri
Muhyiddin Yassin kerana bekas timbalan perdana menteri itu masih merupakan
timbalan presiden parti.

“Anggota UMNO juga perlu menerima keputusan rombakan kabinet oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa lepas, secara matang, rasional dan
penuh tanggungjawab.

“Muhyiddin sendiri sudah menyatakan komitmen beliau untuk mengutamakan
parti, sehubungan itu, seluruh anggota Umno perlu merapatkan barisan,” katanya.

Berhubung pertemuan Najib dengan kalangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri semalam, Hishammuddin berkata itu merupakan kaedah terbaik bagi
membincangkan situasi ketika ini.

“Ini cara kita (UMNO) untuk perjelas kepada anggota UMNO sampai ke peringkat
cawangan. Itulah kaedah terbaik untuk selesaikan hal rumah tangga kita,”
katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY