BUKIT MERTAJAM, 17 Mac  – PILIHAN RAYA……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Parti komponen Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang perlu merapatkan saf dan menjaga kebajikan pengundi demi kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan membantu selagi boleh bagi memastikan kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang tanpa mengira kaum dan agama.

“Inilah ketika yang paling baik bawa angin perubahan di Pulau Pinang termasuk (Parlimen) Batu Kawan…pengerusi parti-parti komponen BN negeri, kita hadapi keadaan ini dengan melupakan permasalahan yang berlaku sebelum ini.

“Kita rapatkan barisan, perkukuhkan saf, jaga kebajikan pengundi-pengundi Batu Kawan demi kemenangan BN,” katanya berucap merasmikan bangunan UMNO Bahagian Batu Kawan hari ini.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM500,000 masing-masing kepada Gerakan, MCA, MIC dan MyPPP untuk kebajikan dan rumah ibadat.

Ahmad Zahid yang merupakan timbalan pengerusi BN melahirkan keyakinan bahawa BN mempunyai potensi untuk merampas kembali kawasan Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya umum akan datang.

“Insya-Allah terutamanya (kawasan Dewan Undangan Negeri) Bukit Tengah, Bukit Tambun dan Perai (kesemuanya di Parlimen Batu Kawan) dengan syarat kita kena kerja keras.

“Rakyat di Batu Kawan dah lama dah menderita, penderitaan ini tuhan sahaja yang tahu…,” katanya.

Parlimen Batu Kawan dan tiga DUN di kawasan itu kini diwakili oleh Pakatan Harapan dengan DAP di parlimen dan DUN Perai manakala PKR di Bukit Tengah dan Bukit Tambun.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan kelas KAFA Masjid Kampung Sekolah Juru dan RM3 juta untuk pembinaan masjid Perai.

Bangunan UMNO Batu Kawan bernilai RM872,000 menempatkan bilik mesyuarat, pejabat UMNO Bahagian Batu Kawan, pejabat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Batu Kawan serta pejabat TEKUN Nasional cawangan Batu Kawan. – WD MY