KUALA LUMPUR, 28 Dis – Lanjutkan….. Rapid Rail dan Rapid Bus Sdn Bhd, yang mengendalikan sistem rel transit serta bas Rapid KL akan melanjutkan waktu perkhidmatan sempena ambang Tahun Baru 2017 bagi memenuhi keperluan orang ramai yang menghadiri sambutan itu.

Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun, berkata perkhidmatan sistem rel Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan Monorel akan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi bagi stesen terpilih, termasuk membabitkan 11 laluan bagi perkhidmatan bas Rapid KL.

“Stesen Masjid Jamek bagi LRT laluan Kelana Jaya, Ampang dan Sri Petaling akan dibuka sehingga jam 2 pagi, termasuk stesen KLCC. Waktu operasi stesen Bandaraya dan stesen Hang Tuah pula akan dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam.

“Terdapat dua stesen di laluan Monorel yang akan dilanjutkan perkhidmatan iaitu stesen Hang Tuah sehingga 12.30 tengah malam dan Bukit Nanas sehingga jam 2 pagi.” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang turut dilanjutkan sehingga jam 2 pagi di stesen Mutiara Damansara dan Bandar Utama, termasuk perkhidmatan bas pengantara yang menghubungkan stesen terbabit di antara Damansara Perdana ke MRT Mutiara Damansara dan bas ulang-alik dari One Utama ke MRT Bandar Utama.

Sementara itu, perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) laluan Sunway dan bas henti-henti Rapid KL turut dilanjutkan selama 30 minit selepas berakhirnya perkhidmatan tren pada jam 2 pagi membabitkan stesen BRT USJ 7.

Walaupun pintu masuk di stesen- lain ditutup seperti jadual biasa, pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel dan BRT masih boleh keluar dari mana-mana stesen sehingga jam 2 pagi untuk meneruskan perjalanan.

Laluan bas Rapid KL yang akan terbabit dengan lanjutan operasi ialah bas nombor 751 (Taman Sri Muda – HAB Pasar Seni ), 781 (Taman Medan – HAB Pasar Seni), 772 (Subang Suria – HAB Pasar Seni), 780 (Kota Damansara – HAB Pasar Seni), serta 300 (Pandan Mewah – HAB Munshi Abdullah).

Selain itu, bas nombor 640 (Taman Sentosa – HAB Pasar Seni), 450 (Terminal Kajang – HAB Lebuh Pudu), 220 (Taman Melawati – HAB Munshi Abdullah), 180 (Taman Dato’ Senu – HAB Pasar Seni), 173 (Taman Jasa Utama – HAB Medan Pasar HL) , serta 600 (Puchong Utama – HAB Pasar Seni).

“Kami menyarankan warga ibu kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari berkenaan untuk menggelak kesesakan lalu lintas terutamanya berdekatan kawasan yang akan menganjurkan acara dan pertunjukan bagi menyambut ambang Tahun Baru.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyambut ambang Tahun Baru secara berhemah dan menjaga keselamatan masing-masing sepanjang menghadiri sambutan. Sila berhubung dengan petugas stesen jika memerlukan bantuan,” katanya. – WD MY