KUALA LUMPUR, 16 April – Anugerah….. Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerima Anugerah Institut Jurutera-jurutera Malaysia (IEM) atas sumbangannya dalam pembangunan industri kejuruteraan dan tenaga.
​​​
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata anugerah yang diterima pada Majlis Makan Malam dan Anugerah IEM ke-58 semalam, memberi suntikan semangat kepada syarikat itu dalam memacu transformasi urban rel di negara ini.
Katanya syarikat yang mengendalikan penyelenggaraan dan operasi transit aliran ringan (LRT), perkhidmatan monorel dan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) itu memiliki lebih 200 jurutera berkelayakan.
“Misi kami adalah mendapatkan lebih ramai jurutera untuk didaftarkan sebagai jurutera profesional di bawah Lembaga Jurutera Malaysia dan IEM. Kami sentiasa berusaha untuk membantu juruteknik yang bekerja dengan Rapid Rail untuk meningkatkan karier masing-masing ke tahap jurutera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rapid Rail juga merupakan pengendali operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line  (MMMSL), Makkah, yang dianggap operasi tren paling mencabar di dunia kerana perlu menggerakkan ratusan ribu jemaah haji pada satu masa, katanya.
“Anugerah tersebut diserlahkan lagi dengan keupayaan Rapid Rail dan Prasarana dalam mengendalikan operasi MMMSL di Makkah. Walaupun menggunakan sistem dan teknologi yang berbeza, staf Prasarana menjalankan tugas mereka  dengan cemerlang sejak mengambil alih pada 2015,” katanya.
Zohari berkata tahun lepas yang merupakan tahun kedua operasi MMMSL oleh Prasarana, ia telah dijulang sebagai perkhidmatan terbaik dalam sejarah MMMSL sejak ia dimulakan pada 2010 dengan 98 peratus tahap kepuasan pelanggan.
Sebelum ini, Rapid Rail menerima anugerah Operator Terbaik Rel 2015 dan pelbagai anugerah inovasi lain serta kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam pengangkutan urban rel.
Zohari berkata Rapid Rail mempunyai Akademi Rel yang bertauliah di bawah Program Latihan Dual Nasional Kementerian Sumber Manusia dan mengendalikan latihan untuk staf dan pegawai rel luar negara seperti Nigeria, Arab Saudi dan Indonesia. – WD MY