SHAH ALAM, 19 Okt – Rapid Bus Sdn Bhd, pengendali bus RapidKL hari ini memperkenalkan perkhidmatan bas dua tingkat bagi laluan U64 iaitu dari Taman Sri Muda di sini ke Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Menurut pengurus Zon Tiganya, Sarifudin Saidin berkata, perkhidmatan itu adalah laluan keempat menggunakan kemudahan bas dua tingkat selepas laluan U80 dari Seksyen 2 Shah Alam ke Pasar Seni, U30 dari Ampang ke KLCC dan dari Kajang ke Jalan Silang di ibu kota.

“Bagi laluan U64 ini kami memperuntukan empat bas dua tingkat kerana jumlah pengguna di sini mencatat 5,000 penumpang sehari pada hari bekerja dan meningkat kepada 6,000 pada hari cuti.

“Tiada cas tambahan dikenakan kepada pengguna yang menaiki bas dua tingkat ini, kadar tambangnya tetap sama seperti bas RapidKL yang lain,” katanya kepada media selepas memperkenalkan perkhidmatan bas berkenaan di sini hari ini.

Tambang dikenakan bagi perjalanan sehala dari Taman Sri Muda ke Pasar Seni ialah RM3.

Katanya, sejak dilancarkan September lepas, perkhidmatan bas dua tingkat berkenaan telah mendapat sambutan baik daripada pengguna.

Bas berkenaan yang mampu membawa sehingga 108 penumpang pada setiap masa dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya tandas dan Wifi selain mesra OKU. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY