RAUB, 24 Feb – Pemulihan Penagih Dadah……Proses rawatan dan pemulihan terbaik penagihan dadah perlu menggabungkan pendekatan konvensional dan agama atau inabah.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penagihan dadah tidak mampu dipulihkan sepenuhnya tanpa penghayatan ilmu agama.
Jelas beliau, pendekatan kerohanian dan agama tanpa mengira agama dan kepercayaan penting untuk memulihkan ketagihan secara total untuk jangka masa panjang.
Justeru, ujar Ahmad Zahid, semua pihak harus bekerjasama untuk membanteras gejala tidak sihat itu agar Malaysia mampu menjadi negara sifar salah guna dadah.
Beliau berucap pada majlis lawatan kerja di Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sungai Ruan, Raub.
Ahmad Zahid turut melancarkan Modul Pemulihan Pendekatan Kerohanian Islam (ISRA) berasaskan Modul Inabah dalam rawatan dan pemulihan kedua CCRC pada Mac depan

“Kaedah inabah ini boleh dijadikan alternatif kerana program rawatan menggunakan pendekatan kerohanian mampu memulihkan masalah penagihan. Ia juga boleh digabungkan dengan pendekatan secara konvensional atau sainstifik bagi meningkatkan tahap keberkesanan pemulihan.

“Ini bukan hanya untuk orang Melayu Islam tetapi juga agama lain,” katanya.
Ahmad Zahid berkata usaha untuk memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan tetapi juga harus melibatkan diri sendiri, ibu bapa dan agensi lain.
Katanya masalah itu harus diatasi sebelum negara berhasrat menjadi antara 20 negara terkemuka dalam pelbagai bidang menjelang 2050 menerusi Transformasi Nasional 2050.

“Tidak ada gunanya sekiranya KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), pendidikan, inovasi dan kreativiti kita dalam kedudukan 20 terbaik dunia tetapi masalah penagihan terus berlaku,”  katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun. -WD MY