KUALA LUMPUR, DISEMBER 8: ICERD…. Seperti dijangkakan, gerakan untuk memburuk-burukkan himpunan #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mula menular di platform media sosial.

Gerakan yang dipercayai dimulakan oleh Red Bean Army (RBA) itu dilihat mula menyerang perhimpunan sejak tengah malam tadi.

Di susur-susur masa Facebook dan Twitter, malah dalam aplikasi Whatsapp juga telah tular hantaran-hantaran daripada kumpulan tersebut yang cuba menyuntik kebencian dan mempersendakan perhimpunan itu serta pesertanya.

Walaupun telah berkali-kali ditegaskan bahawa perhimpunan ini adalah sebagai tanda kesyukuran penolakan kerajaan terhadap ratifikasi ICERD dan juga untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, namun masih ramai yang dangkal dan termakan dengan dakyah dibawa oleh RBA kononnya #DaulatHimpunan812 bermotif perkauman.

Perkara itu disangkal sama sekali oleh Aktivis Concerned Lawyers For Justice, Aidil Khalid yang mempersoalkan agenda kumpulan tertentu cuba menyuntik kebencian terhadap perhimpunan tersebut.

“Dari awal lagi, penganjur perhimpunan telah menegaskan bahawa ini bukanlah perhimpunan kaum. Ini adalah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, bukannya seperti didakwa.

“Saya tidak faham mengapa masih ada yang ingin melihatnya sebagai perhimpunan perkauman? Itu tidak betul,” tegas beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aidil merupakan antara ribuan peserta yang akan menyertai himpunan #DaulatHimpunan812 di Dataran Merdeka hari ini.-MY WD