KUALA LUMPUR, NOVEMBER 9: RCI FOREX…Pejabat Peguam Negara (AGC) berkata ia akan terus membantah dan cuba untuk membatalkan cabaran undang-undang yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian tukaran wang asing (forex) pada 1990-an.

Hal ini selepas Dr Mahathir yang juga perdana menteri sekarang ini bertindak pada Disember tahun lalu dengan memasukkan sebahagian bukti daripada testimoni beliau dan permohonan daripada peguamnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mendengar serahan untuk membatalkan permohonan cabaran kehakiman selepas Peguam Negara Tommy Thomas tidak membalas surat dari Mohd Haniff Khatri Abdullah, peguam kepada Dr Mahathir.

Surat tersebut dihantar pada Ogos lalu kepada AG supaya tidak membantah permohonan Dr Mahathir.

Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob memberitahu pemberita bantahan AGC terhadap permohonan untuk membatalkan laporan RCI itu kerana ia tidak dapat diwajarkan.

Selanjutnya, beliau berhujah perkara itu telah menjadi akademik kerana laporan RCI itu telah diterbitkan kepada umum dan sudah terlambat untuk mengubah segalanya sekarang.

Apa yang sepatutnya dimasukkan di dalam RCI?

Mazlifah berkata cabaran Mahathir tidak menjelaskan punca tindakan.

“Atas sebab-sebab ini, AGC meminta permohonan itu ditolak,” katanya.

Penyerahannya dibuat di dalam kamar Hakim Datuk Azizah Nawawi.

Mahathir memfailkan saman pemula pada Disember lalu terhadap kesemua enam anggota RCI forex, mendakwa bahawa laporan mereka tidak lengkap.

Sebelum bermulanya RCI, bekas perdana menteri itu memohon semakan kehakiman terhadap penglibatan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon, K Pushpanathan dan Yusof Ismail, serta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Haniff dalam jawapannya berkata laporan itu telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, parlimen dan didedahkan kepada awam juga.

“Kami merasakan orang ramai perlu tahu apa yang telah dimasukkan dan apa yang sepatutnya dimasukkan ke dalam laporan itu.

“Di sini kami tidak mencari ganti rugi tetapi perisytiharan dari mahkamah … Seksyen 22 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 menetapkan budi bicara itu mesti dijalankan oleh pesuruhjaya dengan bijak dan adil.

“Anda tidak boleh memilih-milih bukti untuk diletakkan dalam laporan akhir,” katanya.

Hakim Datuk Azizah Nawawi menetapkan 17 Disember ini untuk memberikan keputusannya mengenai permohonan yang menarik.-MY WD