KOTA KINABALU, 11 Feb – Tugas…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Sabah akan diberi tugas baharu memantau keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bersama polis dan tentera.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mendapatkan peruntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pelaksanaan tanggungjawab baharu itu.

Katanya, ia adalah tugas tambahan kepada anggota RELA di Sabah selain tanggungjawab menjaga sempadan bagi membantu pasukan keselamatan di Sabah dan Sarawak seperti yang diumumkan baru-baru ini.

“RELA akan dijadikan pasukan tambahan untuk memantau keselamatan di ESSZONE. Kita akan bincang dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagaimana penugasan mereka di kawasan berkenaan,” katanya selepas melancarkan sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-45 di Padang merdeka, di sini, hari ini.

Kira-kira 10,000 anggota RELA dari seluruh Sabah, selain Lawas dan Limbang, Sarawak hadir pada majlis itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan pembinaan sebuah pusat latihan RELA baharu di Sabah yang akan dibangunkan di tapak seluas kira-kira lapan hektar di Sandakan menggunakan dana kementerian.

Katanya, sebanyak RM6 juta peruntukan tambahan dengan masing-masing RM3 juta daripada kerajaan negeri dan RM3 juta daripada Kementerian Dalam Negeri turut disediakan untuk membeli pakaian seragam RELA, membabitkan kira-kira 40,000 anggota di Sabah pada tahun ini dan RM6 juta lagi pada tahun depan.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, pasukan RELA yang kini dianggotai 3.05 juta di seluruh negara semakin mantap dengan 65 peratus anggotanya terdiri daripada golongan muda berumur 40 tahun ke bawah.

Katanya, RELA adalah satu-satunya pasukan sukarela yang paling tersusun, berdisiplin dan komited di ASEAN, selain menjadi pasukan sukarela terbesar di negara ini dalam sejarah 45 tahun penubuhannya.

“Kalau dulu RELA diperlekeh hanya jaga kenduri kahwin dan jalan raya, sekarang RELA bersama polis dan tentera menjaga keselamatan negara,” katanya. – WD MY