BANGI, 16 Nov – Hilang………. Remaja perempuan berusia 13 tahun gagal dikesan oleh keluarganya selepas keluar dari kediaman keluarga di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi, di sini, pagi tadi.

Kehilangan Aliaa Syafiqah Nazar, 13, disedari ahli keluarganya kira-kira jam 10 pagi selepas remaja itu didapati tiada di dalam biliknya.

Difahamkan, Aliaa Syafiqah, yang juga pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Sungai Tangkas, di sini sepatutnya tidak bersekolah hari ini berikutan pelepasan susulan peperiksaan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, ibu saudaranya, Norjuliani Nazar Nazari, berkata beliau dan beberapa ahli keluarga lain mencari remaja itu di sekolah selepas menyedari beliau tiada di rumah.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Aliaa masuk ke pekarangan sekolah sekitar jam 5.11 pagi sebelum kali terakhir dilihat keluar pada jam 7.51 pagi tadi.

“Dia dilihat memakai baju dan tudung labuh berwarna jingga serta berseluar jeans. Kami turut menemui sebuah beg miliknya ditinggalkan di sekolah,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mereka turut menghubungi Aliaa Syafiqah menerusi telefon bimbit, namun telefonnya dimatikan.

“Kami sudah cuba mencari Aliaa di rumah rakan dan saudara-mara, namun gagal menemuinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kehilangan remaja itu dan polis kini menjalankan siasatan. – WD MY