KUALA KANGSAR, 9 Nov – MAUT…… Remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dari arah belakang kenderaan 4 roda.

Kejadian berlaku di Kilometer (KM) 78 Jalan Kuala Kangsar-Lenggong, berdekatan Kampung Jenalik Hilir, Sauk semalam.

Nur Syaznieza Abdullah, 14, yang menunggang motosikal jenis Modenas maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Azlan Shah, Lenggong baru selesai menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Jenalik, Sauk.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq yang mengesahkan kejadian itu, berkata kedua-dua pemandu dan penumpang kereta yang merempuh mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa cuba membelok ke simpang menghala rumahnya, sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dari arah Ipoh menghala Gerik ketika motosikal mangsa berada di tengah-tengah jalan.

“Pemandu dan seorang penumpang kereta berkenaan yang kedua-duanya rakyat Thailand, mendakwa tidak menyedari motosikal ditunggang mangsa berada di tengah jalan lantas merempuh mangsa dari arah belakang,” katanya.

Ahmad Termizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Katanya, kedua-dua kenderaan terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Taiping untuk pemeriksaan.

Pada masa sama, katanya, siasatan terperinci sedang dibuat di tempat kejadian termasuk merakam percakapan saksi, selain mengambil ujian air kencing pemandu. – WD MY