KUALA LUMPUR, 12 Jan – Seorang remaja yang terpengaruh dengan fahaman Negara Islam (IS) nekad menonjolkan diri dengan cuba menyerang seorang wanita di sebuah pasar raya di Sungai Petani, Kedah, semalam.

Remaja lelaki berusia 16 tahun itu berpakaian seperti anggota IS dan menggunakan pisau menakut-nakutkan mangsa.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, siasatan mendapati remaja itu terpengaruh dengan dakyah IS melalui laman sosial dan emel.

“Siasatan awal mendapati remaja itu tidak berniat untuk mencederakan mangsa tetapi mahu menunjukkan dia ahli IS yang boleh lakukan perkara seperti di Syria,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman.

Remaja yang masih belajar di sebuah sekolah agama di Sungai Petani itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) 2012 kira-kira 8.30 malam, tadi di tempat kejadian.

Khalid berkata, perkara ini bukanlah satu mainan wayang kerana ianya adalah ancaman yang benar terjadi.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, 47 warga Malaysia termasuk 12 wanita dan lapan kanak-kanak yang dipercayai menggangotai IS masih berasa Syria dan Iraq.

Daripada jumlah tersebut 17 maut termasuk tiga pengebom berani mati yang dilaporkan media semalam.

“Siasatan mendapati mereka ini terpengaruh dengan dunia siber.

“Ini amaran bahawa kegiatan IS wujud di negara ini dan perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati lapan orang kanak-kanak di tempatkan di pusat kanak-kanak IS bagi memberi latihan untuk menjadi pejuang kumpulan militan itu.

Beliau berkata, susulan tiga warga Malaysia yang maut di Syria dan Iraq, pihaknya mengenal pasti salah seorang daripada mereka mempunyai isteri dan anak di sana.

Menurutnya, terdapat kesukaran untuk membawa isteri dan anak pulang ke negara ini walaupun mereka mahu.

“Mustahil untuk bawa balik jenazah dan kami tidak menerima respon daripada bahagian kami di sana.”

“Ada ahli keluarga ini mahu memujuk mereka balik ke negara ini tetapi enggan kerana mahu mati syahid di sana,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY