PUTRAJAYA, 19 Sept  – REMAN……  Tempoh reman empat individu termasuk seorang ketua eksekutif sebuah perbadanan bergelar Datuk dilanjutkan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah hampir RM40 juta.

Reman ke atas Datuk yang berusia 58 tahun, setiausaha perbadanan yang berumur 34 tahun dan pengarah syarikat berumur 38 tahun dilanjut selama  tiga hari manakala reman penolong pegawai tadbir berusia 31 tahun dilanjutkan dua hari.

Majistret Siti Nabila Abd Rashid mengeluarkan perintah sambungan reman itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut  berhubung kes penyelewengan dana yang disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan kemahiran khusus untuk mereka yang tiada pekerjaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kesemua lelaki tersebut direman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Sebelum ini, media melaporkan  keempat-empat suspek menyeleweng RM25 juta pada tahun ini dan RM15 juta pada tahun lalu. – WD MY