BALING, 19 April – Reman….. Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan pemandu Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan maut ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling dan isteri di Jalan Kupang-Baling semalam, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd Izmi Ibrahim, mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi membolehkan wanita berusia 37 tahun itu disiasat lanjut.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusoff, berkata perintah itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.

Semalam, wanita berasal dari Jalan Kroh di sini, disahkan positif syabu susulan saringan awal ujian air kencing dijalankan selepas kemalangan di Jalan Kupang-Baling.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi, Asisten Superintendan Mond Noor Mat Yaub, 38 dan isteri, Suriya Abdul Rahman, 37, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Teduri, di sini, maut selepas kereta dinaiki bersama empat anak mereka terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain, ketika dalam perjalanan ke sekolah terbabit.

Kejadian ketika PERODUA Myvi dinaiki enam sekeluarga itu berhenti untuk memasuki simpang sebelum dirempuh Toyota Hilux dari belakang.

Kereta berkenaan kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City.

Kejadian turut menyebabkan empat anak arwah Md Noor berusia antara enam hingga 11 tahun cedera, manakala lelaki berusia 32 tahun yang memandu Honda City turut dilapor parah. – WD MY