PUTRAJAYA, 16 Ogos – Reman…. Tan Sri Isa Samad direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London antara 2014 dan 2015.

Perintah reman bermula hari ini hingga Ahad dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.

Terdahulu Isa, 68, tiba di Mahkamah Majistret di sini jam 9.08 pagi berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.

Beliau diwakili enam peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Dev Kumaraendran, Datuk N Sivananthan, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Lavina Kumaraendran manakala kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

 

Terdahulu, perkarangan Mahkamah Majistret di sini, pagi ini dipenuhi wakil media dan orang awam yang ingin mengikuti prosiding permohonan reman terhadap Isa.

Turut kelihatan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan beberapa peguam.

Isa sebelum memasuki prosiding dilihat sempat berseloroh meminta jurugambar tidak dihalang dan diberi peluang merakamkan gambarnya manakala isterinya kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika Isa dibawa masuk ke kamar mahkamah. – WD MY