PUTRAJAYA, 31 Mac – Reman…. Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman lima hari bermula hari ini kepada individu yang terbabit dalam cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berhubung anugerah darjah kebesaran.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman, terhadap suspek berusia 54 tahun yang bergelar Tan Sri itu.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini sekitar jam 9.30 pagi tadi, berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan diiringi tiga pegawai SPRM, selain tiga peguamnya iaitu Datuk K Kumarendran, Datuk Joshua Kevin dan Jr Tey.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16, Akta SPRM kerana cuba meminta atau menerima rasuah bagi dirinya atau orang lain.

Sebelum ini, suspek menyerah diri kepada SPRM selepas beberapa jam diarahkan berbuat demikian oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Ahad lalu, Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda mengenai penganugerahan darjah kebesaran.

Baginda mendedahkan menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama seseorang kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu SPRM mengadap segera supaya perkara berkenaan dapat disiasat. – WD MY