PUTRAJAYA, 15 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir merasmikan Multaqa Perundangan dan Politik Majlis Perundangan Islam (MPI).

Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian berkata kerajaan memandang serius resolusi hasil dari multaqa ini untuk kebaikan agama Islam khususnya.

“Walaupun kita pelbagai fahaman politik namun kita bersatu untuk multaqa ini memperlihatkan komitmen mendalam semua pihak mengetepikan perbezaan politik demi Islam,” kata Ahmad Zahid

Umat Islam perlu mengenepikan perselisihan politik yang merugikan, sebaliknya mengurus perbezaan itu dengan hikmah dan bijaksana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap di Multaqa Perundangan dan Politik di Putrajaya

Tambah beliau lagi, perpaduan tidak harus dengan hanya penggabungan parti politik sahaja tetapi juga melalui agenda kebersamaan melalui pelbagai cara yang disepakati.

Katanya, teras penyatuan umat Islam yang paling utama adalah pegangan kita terhadap akidah ahli sunnah wal jamaah dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

“Kita mahu supaya jangan ada prasangka dan prejudis kerana kita mahu hasrat kebersamaan ini dapat diterjemahkan,” katanya.

Selain itu katanya, orang Islam juga tidak perlu gusar dalam usaha memartabatkan Islam kerana hanya orang Islam yang berhak menentukan acuan Islam itu sendiri.

“Selain itu, jangan ada tafsiran rambang sebelum mendapat penjelasan dan pemurnian. Apabila keputusan dibuat sebelum dimurnikan, maka keputusan itu tidak tepat,” katanya. – WD MY