KUALA LUMPUR, 17 Mei – Peranan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata ke semua Ahli Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA), perlu memainkan peranan dengan menyumbang pendapat baharu untuk diterapkan dalam memperkukuh dasar keselamatan negara.

Beliau berkata ramai ahli RESPA bukan sekadar memiliki pengalaman, malah pengetahuan serta rangkaian di seluruh dunia atau sekurang-kurangnya rantau ASEAN.

“Sebagai bekas pegawai kanan polis, anda amat dihormati masyarakat, selain peranan sebagai pemimpin pendapat serta ‘gate keeper’ maklumat, menjadikan peranan kita amat besar dalam menentukan hala tuju dan arah pelaksanaan dasar keselamatan negara.

“Dalam soal keselamatan, kita amat buta warna. Kita ketepikan perbezaan etnik, agama, latar belakang dan kebudayaan.

“Kita juga tidak harus berkompromi sekiranya keadaan negara kita terancam, khususnya jika berlaku perpecahan antara kita,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Malam Kenangan RESPA malam tadi.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyeru ahli RESPA membantu polis mengubah persepsi masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, walaupun indeks jenayah negara menurun dengan drastik, persepsi masyarakat terhadap PDRM tetap tidak berubah dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk memperjelas kepada rakyat mengenai peranan polis.

“Lihat saja selepas peristiwa Lahad Datu yang berlaku pada tahun 2012, ia hampir hilang daripada ingatan kita, seolah-olah biduk berlalu kiambang pun bertaut,” katanya.

Turut hadir ke majlis itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Presiden RESPA, Tan Sri Mohd Ismail Che Rus. – WD MY