KLANG, 11 SEPT – ROBOH….. Kerja meroboh Restoran Berkeley Corner, berhampiran Bulatan Bukit Raja, dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, malam tadi.

Kawalan anggota polis, bomba, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor Sdn Bhd, menjadikan proses perobohan berjalan lancar.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan PDT Klang, kerja perobohan itu dilakukan sebagai tindakan penguatkuasaan terhadap struktur binaan Restoran Berkeley yang menceroboh tanah milik kerajaan.

Katanya, tindakan itu juga dilakukan selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 19 Julai lalu yang memutuskan pemilik restoran terbabit, Kayangan Mentari Sdn Bhd, selaku pihak plaintif perlu merobohkan struktur bangunan miliknya itu.

PDT Klang berkata, tempoh perobohan di tapak tanah itu perlu dilakukan dalam tempoh sebulan dari keputusan yang dibuat mahkamah.

Katanya, jika gagal, mahkamah menetapkan plaintif perlu menanggung kos perobohan berkenaan.

“Mahkamah juga menolak permohonan tinggal sementara yang dipohon pihak plaintif pada 19 Julai.

“Sehubungan itu, PDT Klang mengeluarkan notis peringatan pada 26 Ogos lalu, bertempoh tujuh hari supaya pemilik restoran mengosongkan tapak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata operasi perobohan itu dilakukan pihak PDT Klang.

“Anggota polis ditempatkan di lokasi bagi menjaga keamanan.

“Tiada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) diarah ke lokasi terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, operasi berkenaan bermula pada jam 8 malam. – WD MY