KUALA LUMPUR, 2 Jun – Penggabungan…… RHB Bank Bhd, bank keempat terbesar Malaysia dan AMMB Holdings Bhd (Ambank Group), bank keenam terbesar, mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia untuk memulakan perbincangan mengenai proses penggabungan.

Dalam satu kenyataan bersama, RHB Bank dan Ambank Group, berkata Bank Negara membenarkan mereka untuk memulakan rundingan eksklusif bagi tempoh sehingga 30 Ogos depan mengenai jangkaan urus niaga dan penggabungan saham secara keseluruhan.

Jika penggabungan berkenaan menjadi kenyataan, nilai gabungan aset kedua-dua entiti itu adalah RM365.9 bilion, kekal keempat terbesar, namun semakin hampir untuk menyamai bank ketiga terbesar negara iaitu Public Bank Bhd dengan saiz aset RM389.73 bilion.

Dari segi rangkaian cawangan, RHB Bank mempunyai 278 cawangan dengan lebih 16,000 kakitangan, manakala Ambank Group memiliki 175 cawangan dengan lebih 12,000 kakitangan. – WD MY