MELAKA, 14 Sept – Dilanda Ribut…. Hampir 130 rumah di 13 kawasan membabitkan sembilan taman perumahan dan empat kampung rosak teruk ekoran hujan batu serta ribut dalam kejadian di sekitar kawasan Sungai Udang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, taman perumahan yang paling terjejas teruk adalah Taman Keris Satria, membabitkan 50 rumah, selain Taman Keris Emas (9), Taman Peruna (7), Taman Terendak Permai (6), Taman Pahlawan (5), Taman Desa Taming Sari (4), Taman Sungai Udang (3) dan Taman Bandar Baru (2).

Sementara itu, 18 rumah di Kampung Sungai Udang turut terjejas, diikuti Kampung Paya Rumput Jaya (15), Kampung Baru Sungai Udang (6) dan Kampung Sungai Udang Jaya (2), manakala selebihnya di beberapa kawasan lain.

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Mohd Nizam Dawood, berkata ribut petir disusuli hujan batu kira-kira 30 minit berlaku di kawasan berkenaan dengan setiap ketulan air batu itu ditemui sebesar biji guli.

“Ribut kencang berlaku kira-kira jam 3.15 pagi tetapi hanya kira-kira 30 minit, namun kejadian itu menyebabkan banyak pokok tumbang dan atap rumah rosak diterbangkan angin,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Penduduk Taman Terendak Permai, Idris Jaffar, 54, berkata beliau dan dan keluarga terjaga daripada tidur selepas dikejutkan bunyi luar biasa di luar rumah.

“Ini kejadian pertama saya alami selepas 20 tahun tinggal di kawasan ini dan ia menakjubkan,” kata pesara tentera itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar, berkata berdasarkan maklumat diterima, kira-kira 135 rumah terjejas akibat bencana itu dengan enam daripadanya terjejas teruk terutama di kawasan Sungai Udang.

“Kerajaan negeri akan bertindak segera membantu mereka yang terjejas menerusi sumbangan tabung bencana alam negeri,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY