KUALA LUMPUR, JAN 4: Atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi muncul atlet negara pertama dinobatkan selaku Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 dalam majlis khas yang akan diadakan di Emeriyah Arab Bersatu (UAE), esok.

Kejayaan itu akan mengukuhkan kedudukan Ridzuan selaku antara atlet paling berjaya di Malaysia, selepas mencipta gemilang dalam acara lompat jauh dan pecut sepanjang musim lalu.

Pemenang pingat emas acara 100 meter (m), Sukan Paralimpik Rio 2016 ini berusia 31 tahun ini mencuri tumpuan selepas beraksi cemerlang ketika temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober 2018.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur ini mencipta sejarah ketika temasya di Indonesia, dengan mencipta rekod dunia dalam acara 100m lelaki T36, dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh dengan meraih tiga pingat emas keseluruhan.

Catatan terbaik dalam acara riben biru itu ialah 11.87s – sekaligus memadam rekod dunia yang lama, 11.90 milik atlet Russia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.

Ridzuan juga memecah rekod Sukan Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m dan memadam rekod lama (5.45m) yang dilakukan Yang Yi Fei pada 2016.

Pada temasya yang sama, atlet yang mendapat bimbigan jurulatih R. Jaganathan ini

juga merangkul emas acara 400m.

Bagi musim ini, Ridzuan bakal bertanding di Grand Prix Atlet Para Dunia di Grosseto, Itali bermula 8 Jun dan saingan seterusnya di Paris, Perancis pada 28 Ogos.-MY WD