KUALA LUMPUR,OKTOBER 29: RENDAH…Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, diasak oleh perkembangan luaran serta prestasi dolar AS yang terus kukuh, kata peniaga.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran Global FXTM, Jameel Ahmad, berkata sentimen global dan prestasi pasaran saham juga akan mempengaruhi pergerakan ringgit minggu ini.

“Sama ada pasaran saham global terus terjejas akibat ketidaktentuan sama yang dialami sejak beberapa bulan lalu, akan menjadi faktor utama yang menentukan prestasi ringgit pada minggu ini.

“Jika aktiviti jualan saham berterusan di pasaran global pada minggu ini maka ringgit juga berkemungkinan mendapat kesannya apabila pelabur hilang minat terhadap pasaran negara pesat membangun,” katanya.

Jameel berkata, ringgit juga berisiko untuk ditekan menghampiri paras 4.20 berbanding dolar AS.-MY WD