KUALA LUMPUR, JAN 25: RINGGIT….Ringgit rendah sedikit berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini, selari dengan penyusutan mata wang serantau berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang perlahan telah mengalihkan minat pelabur kepada dolar AS yang lebih kukuh.

Pada 9.10 pagi, ringgit berada pada paras 4.1440/1490 berbanding dolar AS pada 4.1410/1450 semasa ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata pedagang berhati-hati berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Pelabur bimbang dengan prospek penyelesaian secara baik dicapai sebelum tarikh akhir pada awal Mac,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain, kecuali berbanding euro yang menyaksikan ia naik kepada 4.6869/6929 daripada 4.6984/6033 semalam.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0459/0507 daripada 3.0435/0469, menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.7783/7832 daripada 3.7728/7775 dan lebih rendah berbanding pound British pada 5.4303/4385 daripada 5.4019/4080 sebelumnya.-MY WD