KUALA LUMPUR 5 April – SIAPA….Siapa yang tidak kenal dengan pelakon cantik Risteena Munim yang masih lagi solo ketika ini.

Risteena menjelaskan, sebagai wanita yang masih solo dia mempunyai pilihan untuk tidak terlibat dengan cinta suami orang.

Kata Risteena, 28, jika seorang lelaki boleh mencurangi isteri, apakah jaminan seorang lelaki itu akan setia dengan cinta kepada dirinya pula.

“Saya tidak mahu menghukum wanita lain yang memilih suami orang, mungkin itu jodoh mereka. Tetapi sebagai wanita yang masih belum berkahwin saya mempunyai pilihan untuk tidak berada dalam situasi yang sama.

“Bagi saya lelaki yang masih mencari wanita lain selepas berkahwin, tiada jaminan untuk dia tidak melakukan perkara yang sama selepas dia berkahwin kali kedua,” katanya.

Menolak ditaja lelaki, Risteena berkata, sebagai seorang wanita yang lebih suka mencipta kejayaan atas usaha sendiri, dia menolak untuk terjebak dengan lelaki hidung belang sebegitu.

“Memang ada yang cuba mendekati saya dengan cara begitu tetapi saya memang elak. Bagi saya dalam mencari seorang suami, bukan kaya dan mewah yang jadi keutamaan tetapi yang penting, dia menjadi seorang pemimpin dan bukan kaki perempuan.

“Bagaimanapun buat masa ini saya masih belum menjalinkan sebarang hubungan yang serius. Namun saya akui sebagai wanita dewasa, perkahwinan adalah salah satu fokus untuk saya selain perniagaan,” katanya yang kini dilantik sebagai Pengarah Urusan syarikat Cantik Dara Sdn. Bhd.

Pembabitannya dalam dunia perniagaan, kata Risteena merupakan bukti kerja kerasnya selama ini. – MY WD