SHAH ALAM, NOVEMBER 8: RIZAB… Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya berwaspada dengan trend menurun rizab antarabangsa negara seperti diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, rizab antarabangsa negara jatuh kepada AS$101.7 bilion selepas PRU14 dan mengalami trend menurun akibat pengaliran keluar berterusan dana pelabur asing dari negara.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan memaklumkan, rizab negara sudah jatuh AS$8.3 bilion (RM35 bilion) sejak pertengahan bulan April.

“Guan Eng perlu ambil perhatian, BNM baru saja mengumumkan bahawa paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.

“Kebimbangan saya ialah angka 0.9 kali hutang asing jangka pendek ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata, sebelum PRU14, beliau tidak pernah melihat angka seperti itu, iaitu di bawah paras 1.0 kali dan biasanya ia ialah 1.1 kali dan ke atas.

“Paras 0.9 kali iaitu di bawah 1.0 kali bermaksud rizab kita tidak cukup untuk membayar semua hutang asing jangka pendek bila dituntut dan merupakan satu risiko baru untuk negara,” ujarnya.-MY WD