JOHOR BAHARU, 23 Jun – Johor memperuntukkan RM10 juta bagi membeli bangunan untuk kegunaan dan kemudahan lebih 100 orang pelajar negeri ini di Amman, Jordan.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pembelian bangunan itu bakal dilakukan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

“Kami sudah melihat keadaan pelajar di Jordan dan semuanya dalam keadaan selesa, namun kami bercadang untuk membeli bangunan bagi menyediakan tempat kepada pelajar-pelajar Johor di Amman.

“Untuk itu, MAIJ dalam proses mencari bangunan yang sesuai kini,” kata beliau kepada media selepas mengunjungi Bazar Ramadan Taman Rinting, di sini.

Kunjungan yang menjadi acara tahunan UMNO Pasir Gudang itu turut diselangi dengan pengagihan 280 kotak buah kurma kepada peniaga serta orang ramai yang mengunjungi bazar berkenaan.

Tambah Khaled, semasa bercuti menunaikan Umrah, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dengan sejumlah pelajar Johor di Mesir dan Jordan bagi bertanyakan khabar dan memberi maklumat terkini mengenai Johor.

“Saya ada juga menyatakan harapan negeri terhadap mereka supaya berjaya dalam menuntut ilmu dan pengajian agar boleh balik dan berkhidmat dalam negeri Johor,” kata beliau. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY